Sunday, May 6, 2012

Berniaga Di Facebook


Facebook. Siapa yang tidak pernah dengar akan perkataan magik ini? Ia adalah laman web sosial yang paling popular dan hebat pada masa sekarang. Ia digunakan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia. Tidak kiralah apa sahaja yang seseorang itu lakukan sama ada pelajar, guru, ahli perniagaan dan ramai lagi. Mereka sudah mempunyai akaun Facebook sendiri yang digunakan untuk memperkenalkan diri. Hari ini fenomena Facebook telah melanda segenap lapisan masyarakat. Miskin, kaya, tua, muda, pemimpin negara, rakyat biasa, pegawai tinggi, kuli, polis, penjenayah, dan bahkan pengemis jalanan pun ada akaun Facebook. Seseorang apabila ditanya sama ada memiliki akaun Facebook atau tidak, jika jawapannya “tidak ada”, si penanya akan memandangnya dengan penuh skeptikal. Seperti tidak lengkap jika tidak ada Facebook. Seperti orang yang tidak memiliki telefon bimbit. By the way, kita jangan lupa bahawa Facebook juga boleh ‘dimain’ hanya dalam handphone.

Kegilaan terhadap Facebook telah melahirkan golongan yang ketagihan laman sosial ibarat virus ini. Contohnya, selebriti terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, berusia 32 tahun, mengaku ketagihan Facebook apabila dia sentiasa memikirkan post-post terbaru yang ingin diletakkan di Wall. Beliau juga rasa teruja setiap kali menerima komen daripada para peminatnya. Kegilaan ini dikatakan memuncak apabila di Mesir, seorang ayah pula menamakan bayinya yang baru lahir dengan nama Facebook . Al-Ahram, sebuah surat khabar yang cukup popular di Mesir menulis, seorang ayah bernama Jamal Ibrahim yang berusia sekitar 20 tahun hendak mengungkapkan perasaan terima kasihnya di atas kemenangan Revolusi 25 Januari, dengan memberi nama anak perempuan pertamanya yang baru lahir dengan nama “Facebook Jamal Ibrahim”!

Mari kita selidik dari mana datangnya fenomena luar biasa zaman kini ini.

Pengasas Facebook , Mark Zuckerberg, telah membina laman web rangkaian sosial ini ketika beliau baru berumur 23 tahun dan masih menuntut di Universiti Harvard. Beliau melancarkan Facebook pada bulan Februari 2004. 24 jam selepas pelancarannya, seramai 1,200 pelajar Harvard telah mendaftar, dan dalam masa satu bulan, hampir separuh pelajar sarjana muda Harvard telah memiliki profil Facebook.

Pada mulanya Facebook disasarkan sebagai rangkaian sosial pendidikan dan telah berkembang ke universiti-universiti di seluruh Amerika. Hanya setahun selepas pelancarannya, Facebook telah berkembang melibatkan penuntut sekolah tinggi Amerika dan ‘menjelajah’ ke universiti-universiti di United Kingdom. Selepas itu fenomena rangkaian sosial Facebook seperti tidak dapat dibendung lagi dan sesiapa saja yang memiliki e-mail boleh membuka akaun Facebook di seluruh dunia. Facebook mengumumkan jumlah ahlinya sudah melebihi 30 juta orang pada tahun 2007. Hari ini jumlah ahli Facebook sudah melebihi 800 juta orang.

Facebook amat popular kerana aplikasi-aplikasinya yang mudah, menarik minat, dan percuma. Selain daripada itu ahli-ahlinya juga boleh membina aplikasi-aplikasi sendiri untuk digunapakai atau dimainkan dalam Facebook. Facebook mendapat keuntungan daripada pengiklanan. Syarikat-syarikat gergasi seperti Google dan Yahoo pernah menaruh minat untuk membeli Facebook dengan menawarkan harga sehingga USD$2 bilion, tetapi ditolak oleh Zuckerberg.

Sedar tak sedar fenomena ini telah memberi impak yang banyak baik kepada individu, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara. Di dalam Facebook sesiapa saja bebas untuk mengatakan apa saja; memuji, mengutuk, meluahkan kemarahan, kejiwangan, kepandaian, dan juga kebodohan. Oleh itu impaknya boleh jadi positif dan boleh jadi juga negatif, bergantung kepada siapa yang membuat kenyataan dan kepada siapa kenyataan itu ditujukan.

Facebook juga dijadikan medan untuk bertemu dengan sahabat handai yang sudah lama terpisah, dan bahkan ada yang menemukan pasangan hidup melalui Facebook. Facebook juga boleh digunakan sebagai medan percambahan minda melalui perbincangan-perbincangan maya yang efektif. Dan dengan cara yang berpatutan, ahli-ahli juga boleh menyalurkan ‘kegiatan2 ibadah’ melalui Facebook.

Bagi yang lebih kreatif dan berwawasan, mereka menggunakan Facebook untuk tujuan komersial dengan menjual produk dan membina jaringan pemasaran. Antara cara-cara yang biasa yang digunakan oleh usahawan internet, pelajar kolej, suri rumah tangga mahupun sesiapa sahaja sebenarnya bukanlah luar biasa seperti yang disangka. Malah, sebenarnya ianya agak mudah!

Sebelum menjual produk, sudah tentu kita perlu mempunyai jumlah rakan atau dipanggil Friends dalam Facebook dahulu. Lebih ramai Friends, lagi senang untuk menjual, betul? Tetapi bagaimana cara untuk membolehkan ramai yang Add anda? Pertama sekali ialah anda, sebagai penjual, digalakkan menggunakan gambar profil yang menarik. Elakkan menukar-nukar gambar profil secara kerap. Gunakan satu gambar secara konsisten. Jadikan gambar profil sebagai logo di Facebook ini. Kedua, perbanyakkan pengisian seperti menulis artikel. Orang akan klik Share dan kemudian orang lain akan Add kita selepas membaca artikel yang telah diSHARE oleh rakan mereka tersebut.

Ketiga, layari Wall rakan Facebook lain dan berikan komen pada status, foto, imej, video atau artikel mereka. Aktif menggunakan Links, Photo, Video dan Notes. Keempat-empat elemen ini cukup berpengaruh untuk mendapatkan respon yang singkat berbanding kaedah email. Kita boleh tag sesiapa rakan yang dikenali serta share links ke dalam mana-mana groups atau pages dengan mudah sekali. Paling mudah share links atau tag gambar yang menggambarkan sesuatu yang positif, quote yang menginspirasikan, atau gambar yang melucukan. Ini akan dapat menarik perhatian sasaran serta membolehkan kita berinteraksi untuk menjadikan ianya lebih viral. Disarankan elemen ini digunakan lebih kerap setiap minggu bagi mendapatkan respon dari members selain terselit agenda simbiotik untuk publisiti atau promosi.

Keempat, letak Widget Facebook di blog. Selitkan juga link ke profile Facebook kita di artikel blog. Manfaatkan kombinasi Facebook Widgets untuk menambah Friends. Ada banyak jenis widget untuk profile, pages mahupun groups. Kita boleh sesuaikan dengan mana-mana blog yang kita miliki serta menjadikan ia lebih viral dengan Facebook . Kombinasi ini cukup penting menjadikan web atau blog kita lebih interaktif serta mempunyai peminat atau pengikutnya yang tersendiri.

Kelima, sertai Groups yang aktif di Facebook. Tetapi pastikan anda hanya sertai yang relevan dengan produk anda. Aktifkan diri di sana seperti memberi komen pada status semasa dan pada mana-mana bahagian yang boleh diberikan komen. Pastikan memberi komen yang membina. Teknik viral serta e-marketing dengan Facebook sebenarnya ada pada function Facebook Groups & Pages. Ini kerana kita dapat mengumpul seberapa banyak mungkin list dengan kedua-duanya. Kelebihan jangka masa panjang diberikan kepada Facebook Pages yang mempunyai function Insight melihat statistik demografi yang sesuai untuk mensegmenkan pasaran. Manakala Facebook Groups lebih sesuai untuk perkara-perkara yang lebih santai dan bersifat tidak rasmi. Disarankan supaya fokus kepada pembinaan lebih daripada 10 jenis Facebook Groups & Pages dalam pelbagai niche. Ini akan menjadi aset sekunder yang boleh menggantikan autoresponder berbayar yang jauh menjimatkan tanpa apa-apa kos. Gabungkan Facebook Groups mahupun Pages dengan blog atau website bagi mendapatkan trafik yang berterusan.

Seterusnya, manfaatkan kelebihan Facebook Events. Di sini peluang terbaik untuk membawa social networking ini ke dimensi yang lebih serius. Anda boleh Create an Event untuk apa jua aktiviti atau program di alam realiti maupun secara maya. Sebagai contoh, anda boleh berjumpa sambil main permainan Cashflow 101 yang mengajar banyak perkara tentang financial management. Event tersebut mmg cukup berfaedah sekali, dan kita patut buat apa jua event dalam sekali sebulan untuk meningkatkan prestasi networking kita dengan orang lain. Yang terakhir, bantu rakan Facebook secara ikhlas atau bekerjasama dengan mereka. Mereka biasanya akan Tag nama kita pada ruang status mereka. Daripada Tag itu, rakan-rakan mereka akan klik pada nama kita dan akan memasuki profile Facebook kita. Mereka akan Add kita jika mereka berminat.

Akhir sekali, elakkan bermain game atau chat yang tidak bermanfaat. Ok, ini merupakan aktiviti yang kurang efisyen bagi usahawan internet jika terlalu banyak main game atau chatting yang tidak bermanfaat. Facebook ini wajar dijadikan saluran pemasaran yang berpotensi untuk mencapai anggaran jualan produk yang tinggi. Chatting dengan prospek dibolehkan, tetapi ianya bukan tempat untuk bercanda maupun mengorat. Jadikan Facebook medan pemasaran yang paling menguntungkan. Itu baru tips, belum tentang pantang larang di Facebook lagi!

Begini, untuk mendapat anggaran jualan yang memuaskan, kita perlu konsisten. Tidak boleh tenggelam timbul, sekejap aktif, sekejap tidak. Pastikan kita mengenali sekurang-kurangnya 10 orang atau lebih di Facebook ini sebagai rakan tetap kita di mana kita sering melawati ruangan Facebook mereka, termasuk memberikan komen yang membina dan bermotivasi. Kesilapan kebanyakan penjual ialah mereka menjual di Facebook seperti mereka menjual di Mudah.com. Itu salah! Promosi secara agresif adalah amat kurang sesuai. Keberkesanan pemasaran di Facebook adalah terletak kepada sejauh mana keikhlasan kita, komunikasi kita dengan rakan-rakan Facebook dan juga sebanyak mana kita memberikan informasi yang berguna. Cara pemasaran di Facebook lebih kepada soft marketing seperti berkenal-kenalan, bertegur-sapa, berkongsi informasi, memberi pendapat dan lain-lain lagi. Fokus kepada perbincangan positif dan berpotensi. Kita memerlukan identiti yang dihormati dan disegani lawan maupun kawan. Oleh itu proses jual beli mahupun perbincangan di Facebook perlu berhikmah dan bijaksana.

Jika ada perkara yang tidak dipersetujui maka berhujahlah dengan dalil, fakta yang konkrit disulami bahasa yang santai dan terbuka. Digalakkan menyertai perbincangan yang konstruktif, kolaboratif dan positif dalam memberi manfaat kepada semua warga Facebook . Isu sensitif melibatkan agama, bangsa dan apa jua yang mudah menggugat sensitiviti perlu berhati-hati serta di sini letaknya kecerdikan akal untuk mengimbangi emosi. Elak konfrontasi terbuka dengan mereka yang berfikiran negatif, sebaliknya berkawanlah dengan mereka yang mempunyai identiti yang positif jauh lebih baik.

Seterusnya, kuantiti bukanlah segala-galanya. Tidak semua akaun Facebook Friend kita adalah aktif. Ada yang sekadar suka-suka, masuk Facebook tidak terlalu kerap dan ada juga akaun yang belum lengkap profile mereka. Untuk itu, jika berkesempatan, Remove Friend yang berkaitan seperti Friend yang menyertai kita sekadar mahu mempromosi program buat duit atau skim cepat kaya semata-mata.

Manfaatkan Facebook sebaiknya kerana ia adalah fenomena pemasaran paling hebat di zaman ini!

No comments:

Post a Comment